Tree Top Walk , Gunung Inas

Tree Top Walk sepanjang 925 meter di kaki Gunung Inas bawa pengunjung teroka keindahan hutan.

PENGALAMAN bersiar-siar sambil menghirup udara segar pada aras paling tinggi iaitu 26.9 meter dari paras hutan atau kira-kira 50 meter dari paras bumi amat menyeronokkan dan pastinya saat itu tidak akan dilupakan.

Itulah yang dirasai tatkala bersantai menikmati keindahan alam semula jadi di laluan kanopi atau The Tree Top Walk di kaki Gunung Inas.

Ia akan menjadi pengalaman penuh bermakna andai pengunjung mengetahui Tree Top Walk di Pusat Rekreasi Sungai Sedim, Kulim, Kedah itu adalah laluan kanopi terpanjang di dunia.

Mula dibina awal 2004 dan siap pada 2005, Tree Top Walk sepanjang 925 meter dibuka kepada pengunjung sejak pertengahan 2006 mempunyai keunikan tersendiri di mana laluan kanopi itu dibina menggunakan struktur besi tahan karat menyerupai jambatan dan mempunyai tiang.

Ia cukup berbeza dengan jambatan gantung atau kanopi di tempat lain yang mana biasa diikat pada pokok. Sebaliknya Tree Top Walk pula lebih teguh menampung beban, sekali gus menjamin keselamatan pengunjung yang bersiar-siar di atasnya sambil menikmati kehijauan hutan khatulistiwa dan penghuninya.

Berjalan melalui titian kanopi besi itu, pengunjung berpeluang melihat pemandangan sekeliling yang cukup mempesona dari atas yang lebih meluas.

Jika bernasib baik, pengunjung berpeluang menyaksikan lebih 260 spesies burung pelbagai saiz termasuklah helang dan enggang.

Selain itu, kawasan Hutan Simpan Gunung Inas kaya dengan pelbagai flora dan fauna itu juga membolehkan pengunjung mengenali dengan lebih dekat kira-kira 100 spesies tumbuh-tumbuhan serta pelbagai haiwan lain.

Biarpun berada di ketinggian 50 meter dari paras bumi di bawahnya sungai mengalir deras dan sedikit gayat, ia pengalaman yang tidak mungkin dilupakan.

Malah, pengalaman baru itu mampu memberi keseronokan buat sesiapa saja yang melang-kah ke jambatan unik itu.

Selain menikmati keindahan alam semula jadi, pengunjung juga disajikan dengan deruan air terjun yang mendamaikan suasana tatkala berjalan di atas Tree Top Walk.

Dengan air sungai yang jernih dan mengalir deras melalui jeram batu itu, pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung antaranya mandi-manda dan berkelah di tepi sungai bersama keluarga.

Selain itu, bagi penggemar aktiviti lasak terutama golongan muda, ekspedisi meredah hutan atau berakit dan berkayak mengikut arus deras sungai serta ´white water rafting´ pasti memberikan kepuasan dan keseronokan yang tidak terkata.

Dari segi kemudahan awam pula, pengunjung tidak perlu gusar kerana pusat rekreasi itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk tandas awam, surau, dewan serba guna serta gerai makan.

Jika tidak puas hanya berkunjung sehari atau beberapa jam di Pusat Rekreasi Sungai Sedim, kemudahan penginapan turut disediakan di situ.

Info

Tree Top Walk

* Laluan kanopi sepanjang 925 meter dibina menggunakan besi dan tempat paling tinggi ialah pada paras 26.9 meter dari aras hutan.

* Di dunia hanya ada dua Tree Top Walk yang menggunakan teknologi seumpamanya iaitu di Sungai Sedim (bagi kategoriterpanjang), manakala satu lagi di Valley of the Giant, Australia Barat sepanjang 500 meter dengan ketinggian 38 meter dari aras bumi.

* Antara aktiviti yang boleh dilakukan di kawasan rekreasi itu termasuk meredah hutan, berjalan malam, survival hutan, berakit arus deras, mendaki gunung, absailing dan perkhemahan bina semangat.

* Aktiviti ´white water rafting´ adalah aktiviti paling polular ditawarkan Pusat Rekreasi Sungai Sedim kerana air sungainya yang deras serta jeram batunya yang mencabar.

Bagaimana ke sana?

* Pemanduan hanya mengambil masa setengah jam dari Bandar Kulim, satu setengah jam dari Pulau Pinang melalui Jambatan Pulau Pinang ke Butterworth dan Lebuhraya Kulim-Butterworth (BKE) menuju ke Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan mengikut laluan Karangan dan Sedim.

Dari Alor Setar pula, perjalanan mengambil hampir tiga jam melalui Lebuhraya Utara-Selatan terus menghala ke Sedim.