Location : Selangor, Malaysia
Nor Affizar Ibrahim
Source :Berita Harian,24 July 2010
Pantai Sepang Gold Coast ikon percutian antarabangsa untuk seisi keluarga
BERMESRA dengan alam semula jadi memberikan terapi yang baik untuk minda, emosi dan fizikal. Justeru, bagi anda yang ingin mengecapi suasana seperti itu, antara lokasi menarik dan mengagumkan serta memenuhi impian itu bolehlah mengunjungi Pantai Sepang Gold Coast - Golden Palm Tree. Pusat percutian itu, kini sudah pun mulai tersebar sebagai antara ikon pelancongan antarabangsa terbaru negara ini.
Paling menakjubkan, tempat percutian itu ialah pemandangannya dari udara yang dilihat seakan sama seperti pulau pokok palma di Dubai dengan villa terapung atas air dan tersusun kemas, menyerupai bentuk pokok palma.
Terletak di pantai Bagan Lalang, iaitu kurang dua jam memandu dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, ia pasti tidak akan menghampakan pengunjung untuk menikmati percutian hebat, menceriakan jiwa dan membebaskan diri daripada sebarang tekanan.
Difahamkan, ia adalah struktur pertama dan satu-satunya yang dibina dengan kaedah ini di dunia. Pembinaannya mengambil kawasan seluas 5000 hektar dengan vila mengunjur sejauh 1.5km ke Selat Melaka.
Pengarah Operasi, Nizal Yunos, berkata pusat percutian itu bagaikan `tumpuan dunia´ yang memberikan kedamaian dan kembara eko sempurna kepada pengunjung.
Katanya, tidak kira pengunjung datang bersama teman atau sekeluarga yang mempunyai anak kecil atau remaja, di situ semua boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik yang disukai dari yang darat hinggalah air, semuanya terpulang mengikut minat dan cita rasa masing-masing.
Untuk yang sukakan aktiviti air, bolehlah bergembira di kolam renang, tetapi jika inginkan sesuatu mencabar, aktiviti perahu layar dan berkayak boleh dicuba. Begitu juga di darat ada akti viti menyeronokkan seperti memanah, bersenam di gim, berbasikal ke kawasan kampung dan sebagainya.
"Untuk anak kecil dan remaja berusia empat hingga 12 tahun, ada aktiviti yang sesuai disediakan. Jadi, mereka yang membawa anak se usia itu tidak perlu risau kerana banyak yang boleh dilakukan di sini, malah ada kala ibu bapa bebas melakukan akti viti disukai, manakala anak mereka boleh berseronok dengan kegiatan masing-masing. Semua aktiviti di darat dan air yang disediakan di sini adalah percuma untuk pengunjung.
"Bagi yang ingin berbelanja lebih dan suka memanja kan diri pilihan yang ada ialah mengunjungi spa yang menawarkan pelbagai rawatan. Pilihan lain ialah menaiki bot dan menelusuri sungai untuk melihat alam semula jadi paya bakau dan juga meninjau aktiviti seperti menternak ikan serta menangkap lokan," katanya.
Nizal berkata, menjelang Oktober lebih banyak pilihan aktiviti lasak dan mencabar akan diperkenalkan di pusat pelancongan itu termasuklah memanjat dinding, banjy, abseling dan sebagainya.
Katanya lagi, sebagai tarikan untuk pelancong dari luar negara, beberapa permainan tradisional juga akan diperkenalkan. Dengan adanya kepelbagaian aktiviti itu, pengunjung tentu berpuas hati sepanjang berada di situ.
"Selain melakukan pelbagai aktiviti, pengunjung boleh menikmati sepuaspuasnya makan lima kali sehari di sini. Hidangan juga beraneka dan mempunyai menu tempatan serta antarabangsa. Bagi yang ingin keluar dari resort dan ingin bersiar-siar ke ibu negara pula, ada pengangkutan percuma disediakan setiap hari. Sememangnya datang ke sini cukup berbaloi," katanya.
* Hari pertama:
1 tengah hari: Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa hampir dua jam. Pemandangan indah yang menyajikan keunikan alam sekitar dapat dilihat sepanjang perjalanan.
3 petang: Ketibaan penulis bersama pihak media lain di Golden Palm Tree disambut dengan pemandangan indah. Kakitangan resort berbaris di tangga dan menyambut mesra kedatangan pengunjung.
3.30 petang: Selepas mendaftar bilik, rombongan media diajak berbasikal mengelilingi kawasan kampung yang berdekatan. Walaupun cuaca panas terik, perasaan teruja menyelubungi diri kerana rata-rata daripada kami sudah lama tidak melakukan aktiviti seperti itu. Berkayuh lebih 10km cukup memenatkan dan peluh keringat membasahi baju tetapi ia memberikan kepuasan serta keseronokan, malah mengimbas kembali kenakalan zaman remaja.
4.30 petang: Merehatkan diri dan menghilangkan lenguh, kami mencuba rawatan spa yang disediakan. Sebaik saja, jari-jari pakar menyentuh dan mengurut seluruh badan, rasa segar kembali, malah tidak sabar untuk meneruskan aktiviti lain.
6.30 petang: Bersiar-siar di kawasan tepi pantai sambil ditemani alunan air laut yang sesekali begitu mengasyikkan apabila direnung lama-lama. Ada juga yang mengambil peluang mencuba mengendalikan kapal layar. Pada masa sama, tidak sabar-sabar untuk menyaksikan pemandangan matahari tenggelam.
8 malam: Menikmati makan malam di Restoran Kopitiam. Aneka hidangan menyelerakan disediakan sehingga rambang mata memilih makanan diinginkan.
9 malam: Menuju ke restoran Sunset, rombongan dihiburkan dengan pertunjukan silap mata dan persembahan menghiburkan. Tanpa sedar, hari sudah pun semakin lewat malam dan ada yang mengambil keputusan ingin balik ke bilik. Tetapi ada juga yang bersambung menikmati hiburan kumpulan muzik secara langsung di lounge se hingga lewat pagi.
* Hari kedua
7 pagi: Kicauan burung dan desiran ombak menghidupkan suasana pagi. Ada yang mengambil peluang bersiar di sekitar vila dan kawasan pantai.
8 pagi: Sarapan pagi dan sekali lagi menikmati hidangan segar di Restoran Kopitiam.
10 pagi: Rombongan dibawa melawat beberapa jenis villa yang ditawarkan untuk pengunjung resort. Menjengah satu persatu villa yang disediakan di Golden Palm Tree, mulut tidak henti-henti memuji keistimewaan ditonjolkan.
Memerhatikan setiap sudut dan tata hias di dalam vila yang megah terapung di atas permukaan Selat Melaka, terbit perasaan kagum dalam diri.
11 pagi: Menaiki bot dan menelusuri sungai Sepang Besar untuk melihat alam semula jadi paya bakau dan juga meninjau aktiviti ekonomi masyarakat di kawasan di sekitar seperti menternak ikan serta menangkap lokan. Ada di antara kami yang cuba-cuba belajar menjala ikan tetapi malangnya, seekor pun tidak dapat dinaikkan.
Untuk kenangan, kami sempat mencampakkan benih pokok pakau dengan harapan ia akan tumbuh dan suatu hari kami pasti berkunjung semula ke tempat itu.
3.00 petang: Waktu makan tengah hari kami tersasar daripada jadual yang ditetapkan dek kerana seronok menelusuri sungai. Menikmati makanan stimbot di Food Garden dengan perut lapar dan sudah lama berkeroncong memang sungguh enak.
4.00 petang: Kembali ke ibu negara dan meninggalkan Golden Palm Tree dengan pelbagai kenangan manis.
INFO
Golden Palm Tree
* Golden Palm Tree terbentang di garis pantai Sepang, hampir satu kilometer mengunjur ke perairan Selat Melaka. Pusat percutian mewah itu mengandungi 393 vila perairan mewah yang membentuk pokok palma, sekali gus memperlihatkan ia adalah destinasi percutian tropika lengkap untuk pengunjung.
* Suasana nyaman di situ sememangnya sesuai untuk bercuti bagi mendapatkan kedamaian, malah cocok sekali dijadikan destinasi berbulan madu bagi pasangan yang baru berkahwin.
 
|
|