Travel Stories

Anjing laut ´sambut´ pelancong

Share
Location : Melbourne, Australia
Roslan Ibrahim

Source :Harian Metro,18 February 2010

  • BISING...anda boleh melihat ragam anjing laut dari dekat jika berkunjung ke Seal Rock, Phillip Island.

  • SIHAT...kawasan luar bandar Melbourne mempunyai ladang ternak lembu yang luas.

  • JINAK...wallabies antara spesies kanggaru dan banyak terdapat di Melbourne, Australia.

  • COMEL...koala antara haiwan yang hanya terdapat di Australia dan banyak menghabiskan masa dengan tidur.

  • HARUM...ladang lavender, antara tempat yang perlu dikunjungi di Melbourne, Australia.

Ngauman, jeritan riuhkan persekitaran ketika berenang di sekitar cruise bawa pelawat

JIKA melawat Australia, hati pasti teruja melihat keunikan hidupan liar dan panorama alam semula jadi yang memukau. 

Justeru, peluang melawat Melbourne, Australia bersama rombongan media dari Malaysia anjuran Emirates Airline dan Tourism Australia, baru-baru ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan.

Dalam cuaca sekitar 20 darjah selsius, Melbourne sebuah bandar yang cantik, mempunyai seni bina menarik dan bersih dengan penduduk yang ramah.

Pegawai Victoria Tourism, Samatha Caffin membawa kami ke beberapa pusat tumpuan pelancong, antaranya Akuarium Melbourne, Sydney Road yang mempunyai ramai penduduk Islam dan Eureka Skydeck, bangunan 88 tingkat.

Peluang ke Phillip Island (Pulau Phillip) antara destinasi yang ditunggu-tunggu, apatah lagi kesempatan melihat penguin, koala dan anjing laut.

Perjalanan dari bandar raya Melbourne ke Phillip Island yang jaraknya 140 kilometer mengambil masa 1 jam 40 minit. Panorama sepanjang perjalanan amat mempesonakan terutama ladang ternakan lembu dan kuda yang saujana mata memandang.

Kami tiba di Phillip Island kira-kira jam 4 petang dan terus ke jeti menaiki cruise ke Seal Rock untuk melihat kehidupan anjing laut.

Perjalanan kira-kira sejam agak mencabar, apatah lagi gelombang besar menyebabkan saya mabuk laut. Namun, peluang melihat koloni anjing laut dari jarak 10 meter nyata berbaloi.

Saya diberitahu ada kira-kira 15,000 anjing laut di Seal Rock.Ngauman dan jeritan mereka meriuhkan persekitaran, malah ada yang berenang di sekitar cruise seolah-olah menyambut kehadiran kami.

Kira-kira jam 8 malam, kami ke Pantai Summerland di Phillip Island (Pulau Phillip) untuk melihat kumpulan penguin pulang dari laut ke sarang mereka atau `penguin parade´.

Kira-kira 30 minit sebelum waktu pendaratan penguin, tempat menunggu di tangga ayam dipenuhi pelancong.

Melihat orang ramai yang begitu khusyuk memandang ke arah tempat penguin mendarat itu, saya terfikir sendiri jika burung itu boleh berkata-kata, tentu haiwan itu akan tersenyum sendiri kerana manusia sanggup menunggu dalam gelap di tepi pantai semata-mata untuk melihat mereka pulang dari laut.

Itulah kehebatan penguin ini kerana kira-kira 500,000 mengunjungi Phillip Island tahun lalu semata-mata mahu melihat spesies burung ini dari dekat.

"Itu dia, dah mendarat...," kata wakil Tourism Australia, Amanda Chong sambil menepuk bahu saya dan menunjuk ke arah sekumpulan penguin yang tiba-tiba muncul dari celahcelah batu di tepi laut.

Saiznya tidak berapa tinggi, kira-kira 30 sentimeter dan sambil mengibas bulunya dan meninjau kawasan sekitar, beberapa ekor berjalan terkedek- kedek ke darat menuju ke sarang masing-masing di sekitar pantai itu seperti itik pulang petang.

Mulanya hanya beberapa ekor, tetapi semakin gelap kawasan sekitar, jumlahnya kian bertambah. Saya diberitahu ada kira-kira 16,000 penguin di sekitar pantai itu.

Melihat haiwan itu berjalan terkedek-kedek memang menarik dan melucukan, apatah lagi kadangkala haiwan itu berhenti seketika, mungkin penat tanpa mempedulikan manusia.

Esoknya, kami melawat Pusat Pemuliharaan Koala, sejenis haiwan unik di Austalia.Koala menghabiskan sebahagian hidup untuk tidur dan hanya bangun empat jam sehari untuk makan sejenis daun dinamakan eucalypt.

Kami turut mengunjungi beberapa tempat menarik lain sekitar Phillip Island, antaranya Amazen Thing, kilang coklat Panny milik seorang anak Malaysia selain persekitaran pantainya yang memukau.

Tempat menarik di Melbourne

1. Amazen Thing di Phillip Island: Ia seperti taman tema yang dibina khas sebagai tempat hiburan yang bertemakan kepintaran. Anda boleh mencuba beberapa permainan menarik yang pasti menyeronokkan, antaranya cermin ajaib, mencari harta karun dan terjun ke gaung.

2. Taman Hidupan Liar Ballarat: Di sini, anda boleh memberi makan kanggaru yang jinak atau peluang mendukung koala selain pelbagai hidupan liar yang hanya terdapat di Australia termasuk ular berbisa dan buaya.

3. Taman Lavender: Anda berpeluang melihat bagaimana tanaman lavender diusahakan secara komersial di ladang. Pelbagai produk berasaskan lavender boleh anda beli seperti potpuri, losen, aromaterapi dan minuman lavender. Anda berpeluang minum pagi di sini sambil melihat panorama alam semula jadi di kawasan luar bandar Australia.

4. Kilang coklat Panny: Jangan terkejut kerana kilang ini milik seorang anak Malaysia berketurunan India yang berhijrah ke Australia untuk menjadi tauke coklat terkenal. Selain menikmati pelbagai jenis coklat, anda berpeluang melihat cara pemprosesan coklat dan pelbagai permainan menyeronokkan berkaitan coklat.

5. Ladang peach: Jika anda gemar makan buah-buahan, inilah peluang menikmati sepuas-puasnya pelbagai jenis peach di ladang milik Peter Rayners. Jika mahu datang ke sini, musim berbuah ialah sekitar Januari, Februari, Mac dan Disember.


Post a Comment for Anjing laut ´sambut´ pelancong
Name* :
Email* :
Comment* :
Math Question*  = 

Check your answer first before submit button is enabled








Related Stories
Gunung Ngongotaha
Teroka terowong lapan kilometer
London's must-dos
Syurga beli-belah serlah kelebihan Manila
Crowded in Dhaka
Tokyo destinasi pelancongan serba lengkap
The epitome of luxury
Mumbai syurga beli belah
Exhilarating highs and lows of Hong Kong
Manik kristal jadi kegilaan di Hong Kong

Destinations

 

Custom Search



Cheap Airfares on Wego Travel Search

Terms of Service |  Privacy Policy |  RSS |  Copyright © NSTP e-Media Sdn Bhd (411895-A) Best viewed in 1280x1024 resolution.