Travel Stories

Gold Coast: Movie World Tarikan Utama

Share
Location : Queensland, Australia
Shariffudin Mohamed

Source :Metro Ahad,14 February 2010

  • KOALA...sentiasa menarik perhatian pelancong.

  • HALAL...ada beberapa kedai menjual kebab di Surfers Paradise.

  • SUPERMAN ESCAPE...kelajuan menegaknya boleh mencapai 100km sejam dalam dua saat.

  • BERANGIN... anggota rombongan mengambil kesempatan merakam gambar kenangan di Danger Point.

Banyak permainan disediakan, termasuk rollercoaster Superman Escape, 4.5G Vertical Launch Batwing Spaceshot, Scooby-Doo Spooky Coaster dan Wild West Falls Adventure Ride.

MENARIKNYA mengunjungi Gold Coast di Queensland, Australia ialah penduduknya rata-rata mesra pelancong tanpa mengira dari dalam atau luar negara.

Mereka tidak lokek dengan senyuman, malah pelancong tidak perlu bimbang untuk bersiar-siar juga membeli-belah di Surfers Paradise atau menjalani aktiviti di Movie World atau Sea World yang terkenal di negara kanggaru itu.

Jurujual mereka, ada antaranya berketurunan Asia, tidak kedekut dengan layanan walaupun kalangan pelancong tidak berhasrat untuk membeli barangan cenderahati yang dijual.

Penulis sering menjawab `just looking´ apabila disapa, tetapi jurujualnya tidak menunjukkan reaksi marah atau geram walaupun melihat penulis membelek barangan cenderahati sekian lama.

Mungkin mereka memikirkan destinasi pelancongan seperti Gold Coast yang pantainya sepanjang 70 kilometer dan bercuaca subtropika memerlukan kedatangan pelancong untuk menggerakkan ekonominya.

Tanpa pelancong, ekonomi Gold Coast mungkin lembab. Hotel tidak akan ada ramai penyewa dari negara luar, begitu juga bas dan teksi tidak dapat hidup dengan hanya bergantung kepada penumpang tempatan.

Kedai cenderahati dan makan pula pasti hidup segan mati tak mahu.

Namun, hakikatnya Gold Coast yang dipenuhi dengan ratusan hotel bertaraf pelbagai bintang, rumah penginapan mahal dan murah terus menggamit ribuan pelancong datang dari pelusuk dunia saban tahun.

Ia bukan saja destinasi luncur air terkemuka di Australia, malah sesuai dengan aktiviti famili berikutan menawarkan pelbagai tarikan baik untuk orang dewasa mahupun kanak-kanak.

Seperti dimaklumkan dalam satu laman web, Gold Coast memiliki segala jenis tarikan tanpa mengira umur anda, termasuk yang percuma atau perlu dibayar dengan kadar berpatutan.

Tidak hairanlah penulis menemui ramai warga Malaysia datang ke Gold Coast, termasuk sepasang suami isteri membawa tiga anak mereka ketika tiba di Lapangan Terbang Gold Coast di Coolangatta, walaupun ketika ini di luar musim cuti persekolahan.

Dengan tambang penerbangan berpatutan, Gold Coast tidak lagi asing kepada rakyat Malaysia untuk merasai suasana percutian yang menggabungkan pantai, bandar, alam sekitar dan aktiviti yang keseronokannya sukar ditemui di destinasi lain.

Kini, pihak berkuasa pelancongan Queensland menyediakan pakej Muslim bagi menarik pelancong beragama Islam melawat Gold Coast.

Penulis bersama sekumpulan wartawan dari Malaysia yang dibawa oleh stesen televisyen 8TV dengan kerjasama Queensland Tourism Board berpeluang mengikuti pakej terbabit selama empat hari.

Pengembaraan memang memenatkan kerana sebaik menjejak kaki di lapangan terbang, rombongan terus dibawa ke Santuari Hidupan Liar Curumbin tanpa sempat membersihkan diri atau gosok gigi.

Banyak tempat mendapat pengiktirafan halal berdasarkan risalah panduan Gold Coast Muslim Visitors Guide. Movie World, satu-satunya taman tema kendalian Warner Bros di dunia adalah tarikan utama di Gold Coast.

Di dalamnya, banyak permainan disediakan asalkan berani mencuba, umpamanya rollercoaster Superman Escape, 4.5G Vertical Launch Batwing Spaceshot, Scooby-Doo Spooky coaster, Wild West Falls Adventure Ride dan Ride Lethal Weapon.

Melihat rollercoaster Superman Escape memang menggerunkan yang kelajuan menegaknya mencapai 100km sejam dalam dua saat. Cuma enam anggota rombongan berani menaikinya, yang lain memberi pelbagai alasan kerana takut untuk mencuba.

Menaiki Scooby-Doo Spooky Coaster pula menakutkan kerana bukan saja dalam suasana kegelapan yang menyeramkan, malah kenderaan boleh menjunam ke depan dan belakang.

Sangat mendebarkan adalah persembahan Hollywood Stunt Driver yang memaparkan ketangkasan pemandu melakukan aksi lagak ngeri, termasuk adegan penjenayah dikejar polis dalam gelanggang yang boleh memuatkan 2,000 penonton.

Menurut seorang petugas, pihak Movie World membelanjakan kira-kira RM30 juta (AUS$10 juta) untuk menyediakan segala kelengkapan dan tenaga kerja bagi melakukan persembahan itu setiap hari sejak dua tahun lalu.

Bagi kanak-kanak, mereka boleh menikmati bermacam-macam permainan di Zon Kanak-Kanak yang tidak kurang hebatnya atau menyaksikan persembahan nyanyian watak kartun, Looney Tunes.

Perarakan hero komik dan watak kartun, termasuk Batman, Shrek, Scooby-Doo and the Mystery Inc Gang dan Catwomen adalah acara yang ditunggutunggu pengunjung sebelum beredar dengan rasa puas.

Gambar | Shariffudin Mohamed

Post a Comment for Gold Coast: Movie World Tarikan Utama
Name* :
Email* :
Comment* :
Math Question*  = 

Check your answer first before submit button is enabled








Related Stories
Pulau Moreton penuh tarikan
Gunung Ngongotaha
Teroka terowong lapan kilometer
London's must-dos
Syurga beli-belah serlah kelebihan Manila
Crowded in Dhaka
Tokyo destinasi pelancongan serba lengkap
The epitome of luxury
Mumbai syurga beli belah
Exhilarating highs and lows of Hong Kong

Destinations

 

Custom Search



Cheap Airfares on Wego Travel Search

Terms of Service |  Privacy Policy |  RSS |  Copyright © NSTP e-Media Sdn Bhd (411895-A) Best viewed in 1280x1024 resolution.